"Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

(Dipetik daripada "500 Tahun Menghadapi Cabaran" - Kamaruddin M.Said, 2004)

Tuesday, June 1, 2010

KEHARMONIAN MASYARAKAT MAJMUK BERMULA DI MELAKA

KETIKA keagungannya pada abad ke-15, Melaka ialah sebuah kota antarabangsa yang makmur dengan aktiviti perdagangan dan perniagaan. Negeri yang terkenal dengan kebijaksanaan Bendaharanya Tun Perak dan kehandalan Laksamana Hang Tuah itu, banyak meninggalkan asas kenegaraan dan kemasyarakatan di negara kita. Misalnya sistem beraja dan undang-undang bertulis negeri Melaka menjadi asas kepada sistem kenegaraan negara kita.

Dalam konteks sejarah sosial, Melaka ialah negeri yang mula-mula mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menurut beberapa orang pengkaji sejarah seperti O.W.Wolters dan Wang Gungwu, Melaka mula mengamalkan sikap liberal dan terbuka sejak pemerintahan Iskandar Syah (Parameswara) dan dua orang pengganti selepasnya. Mereka menggalakkan pedagang dan orang luar datang ke pelabuhan Melaka sehingga terbentuknya masyarakat majmuk di kota Melaka.

Melaka ketika itu bukan sahaja didatangi oleh pelbagai etnik dari Nusantara (Kepulauan Melayu), malah pelbagai bangsa dari pelbagai tempat di dunia, seperti Parsi, Arab India, China, Burma dan Kemboja (Champa). Menurut Tom Pires, selepas kemangkatan Parameswara, penduduk Melaka berjumlah kira-kira 6,000 orang.

Winstedt dalam bukunya History of Malaya menyebut bahawa penduduk Melaka meningkat kepada 40,000 orang dewasa ketika pemerintahan Sultan Alauddin dan menjadi 190,000 orang sebelum Portugis menyerang Melaka. Kaum pendatang di Melaka ketika itu sangat menghormati budaya dan adat rakyat tempatan (orang Melayu). Mereka bergaul mesra dengan masyarakat tempatan sehingga ada dalam kalangan orang asing itu diberi peluang dalam mobiliti sosial dengan terbabit secara langsung dalam institusi pentadbiran Melaka.

Melaka juga sejak awal lagi merakamkan bahawa proses asimilasi budaya pernah berlaku di negeri itu sehingga mewujudkan beberapa komuniti masyarakat yang unik, iaitu komuniti Cina Peranakan yang dikenali sebagai Nyonya Baba dan India Peranakan yang dikenali sebagai komuniti Ceti. Oleh itu, apabila kita membicarakan mengenai perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat, Melaka harus dijadikan rujukan dalam memahami keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Catatan mengenai keharmonian hidup masyarakat majmuk ini terdapat dalam beberapa catatan Abdullah Munsyi dalam bukunya "Hikayat Abdullah" (Pustaka Antara, 1963).

Abdullah Munsyi ada mencatatkan di dalam hikayatnya bahawa penduduk Melaka terdiri daripada pelbagai komposisi bangsa dan kaum. Abdullah menyebut bahawa Melaka sudahpun dihuni oleh penduduk pelbagai bangsa, iaitu Melayu, Cina, India dan Nasrani (Portugis). Dalam Bab 6 buku berkenaan, beliau menyebut bahawa pelbagai bangsa yang menetap di Melaka itu hidup dalam suasana aman dan damai. Abdullah menggambarkan bahawa keadaan keharmonian masyarakat berbilang kaum itu wujud kerana ada sifat setia dan taat kepada pemerintah ketika itu.

Abdullah juga mencatatkan hubungan antara kaum di Melaka begitu kuat dan harmonis sehingga seorang budak yang nakal dari satu bangsa boleh ditegur oleh bangsa lain. Malah, boleh dipukul oleh ibu bapa bangsa lain. Ibu bapa budak yang dipukul atau ditegur itu akan berterima kasih kepada mereka kerana mengambil berat akan perlakuan atau perangai anaknya.

Perkara itu ada dijelas dalam Bab 4 oleh Abdullah apabila beliau menulis :
".... dalam negeri Melaka, baik bangsa apa, seseorang menaruh malu akan seseorang, dan seseorang takut akan seseorang. Maka jika kiranya anak Melayu membuat pekerjaan jahat atau barang sebagainya yang tidak baik, dilihat orang Cina atau bangsa manapun, maka boleh diajarnya dan dipukulnya akan dia, maka itu dipuji oleh ibu bapa budak itu..."

Demikianlah eratnya hubungan antara kaum dan indahnya suasana harmonis yang wujud di Melaka seperti yang dicatat Abdullah itu. Menurut penulis artikel ini, pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, masyarakat tempat penulis dilahir dan dibesarkan (di Melaka) masih dapat melihat suasana demikian dengan bangsa lain boleh menegur anak jiran tanpa rasa takut atau bimbang dimarahi ibu bapa budak yang ditegur itu. Malah ada yang merotan sekali dua di kaki atau punggung budak yang nakal atau melakukan kejahatan di hadapannya.

Hari ini, semuanya sudah berubah kerana masyarakat semakin bersifat individualistik. Hari ini, jangan dikatakan menjentik anak jiran, malah menegur sekali pun boleh mengundang pergaduhan dan perseteruan.

Alangkah indahnya masyarakat kita sekiranya perpaduan yang sekarang sedang kita janakan semula melalui gagasan 1Malaysia boleh mencapai tahap seperti itu. Rasanya sukar untuk kita alami suasana seperti itu kembali. Namun, apa yang penting ialah perlunya kita memperkukuh perasaan hormat-menghormati, bertolak ansur, rendah hati dan berbudi bahasa antara satu sama lain tanpa mengira kaum. Amalan itu adalah nilai murni yang ingin diterapkan melalui gagasan 1Malaysia.

(Diubahsuai daripada rencana yang ditulis oleh Mohd Ayob Abd Rashid, Berita Harian, 1 Jun 2010) .../rbj

No comments:

Post a Comment