"Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

(Dipetik daripada "500 Tahun Menghadapi Cabaran" - Kamaruddin M.Said, 2004)

Sunday, June 27, 2010

PBS Sejarah PMR


Kerja Kursus Sejarah PMR pada tahun ini berkenaan dengan 'PERAYAAN TRADISI KAUM DI MALAYSIA'. Sejak awal bulan Mac, guru-guru telah membimbing murid-murid Ting. 3 untuk menyediakan folio berkenaan bagi memenuhi syarat Pentaksiran Berasaskan Sekolah peringkat PMR bagi mata pelajaran Sejarah.

Kini, proses menyiapkan Kerja Kursus Sejarah sudah sampai ke penghujungnya. Pada bila-bila masa sahaja pemantauan akan dilakukan oleh Ketua Pentaksir Kawasan.

Guru-guru Sejarah kini sedang sibuk memeriksa folio Kerja Kursus Sejarah sambil 'memburu' murid-murid yang liat menyiapkan folio tersebut, terutama sekali murid-murid yang 'sekejab ada sekejab tidak ada' di sekolah.

-rbj

Wednesday, June 16, 2010

Objektif Pendidikan Sejarah




1) Memahami perkembangan masyarakat dan negara dari segi politik, ekonomi dan sosial.

2) Memahami dan menghargai ciri-ciri kemasyarakatan dan kebudayaan Malaysia serta mengamalkan dalam kehidupan seharian.

3) Menghargai usaha dan sumbangan tokoh-tokoh yang memperjuangkan kedaulatan dan kemerdekaan, serta tokoh-tokoh yang menghasilkan pembangunan negara.

4) Mempunyai kesedaran sejarah dalam pemahaman hakikat dan keadaan masyarakat dan negara kini.

5) Menganalisis, merumus dan menilai fakta-fakta sejarah secara rasional.

6) Mempertingkatkan daya pemikiran dan kematangan yang berasaskan ikhtibar daripada pengalaman sejarah.

7) Mempunyai kesedaran, kepekaan dan semangat ingin melibatkan diri dalam usaha-usaha mempertahankan kedaulatan, pembangunan dan kemajuan negara.

-rbj

Sunday, June 13, 2010

Guna Buku Teks Sejarah


KAEDAH PENGGUNAAN BUKU TEKS
Kaedah penggunaan buku teks yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah dapat meningkatkan minat dan penglibatan murid lemah secara individu.
Seseorang guru Sejarah bertanggungjawab memastikan murid lemah memahami dan menguasai pelajaran Sejarah pada peringkat keupayaan dan kebolehan yang mereka miliki.

Kaitan Buku Teks Dengan Pembelajaran Murid Lemah

Murid lemah ialah golongan yang mempunyai kurang keupayaan dalam aspek mental, fizikal dan emosi pada tahap tertentu berbanding murid normal yang berada pada tahap purata perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor mereka. Hal ini menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk mengikuti pelajaran dengan berkesan dan menghadapi kesukaran untuk memahami pelajaran yang disampaikan oleh guru. Oleh itu, buku teks mempunyai pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap kecerdasan pelajar.

Kelebihan Buku Teks Sejarah
i. mempunyai peta konsep sebagai garis kasar isi pelajaran yang boleh
digunakan oleh guru dalam perancangan pelajaran
ii. meringkas dan merumuskan sejumlah maklumat penting yang berkaitan
dengan sesuatu bidang.
iii. membolehkan murid memperoleh bahan khusus dalam bentuk yang telah
disatukan.
iv. menyediakan sumber maklumat yang seragam untuk semua murid.
v. memberi idea kepada guru tentang organisasi maklumat dan aktiviti yang
dapat dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran.
vi. menyertakan gambar, graf, peta dan bahan-bahan ilustrasi yang memudahkan
pemahaman murid.
vii. menyertakan lain-lain bahan pengajaran seperti ringkasan, latihan dan soalan
terancang.
viii. meringankan beban guru dalam menyediakan bahan pengajaran dan
pembelajaran

Pastikan murid-murid membawa & membaca buku teks Sejarah.../ rbj

Monday, June 7, 2010

Buku Teks Sejarah Dalam P & P



Satu aspek yang dipertimbangkan dalam penggunaan buku teks yang berkesan dalam pembelajaran murid lemah ialah tahap kebolehbacaan. Murid lemah sukar memahami istilah yang sukar, abstrak dan di luar pengalaman mereka.

Seseorang guru Sejarah harus bijak memilih bahan yang sesuai dalam buku teks untuk murid lemah dan seterusnya dapat digunakan dengan berkesan bagi meningkatkan kefahaman murid terhadap perkara yang dipelajari. Guru Sejarah perlu memilih isi yang penting, menggunakan bahasa dan ayat yang mudah difahami ketika menerangkan dan menguji tahap kefahaman murid melalui lembaran kerja yang disediakan. Buku teks dan lembaran kerja/ modul ini boleh digunakan di dalam dan di luar bilik darjah

Guru Sejarah perlu dalam mengisi petak lembaran kerja / modul yang disediakan. Melalui lembaran kerja / modul yang disediakan mendidik murid cara menyusun maklumat dan berfikir secara sistematis, murid dapat mencari dan mengingat maklumat penting daripada buku teks dengan mudah. Buku teks Sejarah boleh digunakan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran sama ada permulaan, pertengahan atau pada akhir pembelajaran.

Teknik Penggunaan Buku Teks dalam P & P di Sekolah

Bagi memastikan P & P yang berlangsung dalam bilik darjah berkesan, guru wajar menitikberatkan perkara berikut :
* Peta konsep
* Penggunaan bahan grafik
* Maklumat tambahan

* Pelbagai aktiviti pembelajaran yang kreatif dan inovatif
* Kemahiran berfikir secara kritis & kreatif

* Kecerdasan pelbagai

* Unsur dan nilai patriotisme

* Kemahiran teknologi komunikasi maklumat
* Latihan-latihan

Pada peringkat awal P & P, guru wajar memberi gambaran keseluruhan (Big Picture) mengenai bab yang akan diajar berpandukan peta konsep yang terdapat pada awal bab buku teks.

Guru seterusnya melaksanakan P & P menggunakan pedagogi yang sesuai berasaskan buku teks. Bahan-bahan grafik seperti gambar, peta, carta, jadual dan gambar rajah perlu digunakan secara maksimum dalam P & P guru bagi menarik minat dan tumpuan murid. Gerak kerja yang bersesuaian dengan pedagogi yang digunakan boleh dilaksanakan bersama. Guru boleh membuat rumusan dengan pelbagai cara berpandukan buku teks.../rbj



Tuesday, June 1, 2010

KEHARMONIAN MASYARAKAT MAJMUK BERMULA DI MELAKA

KETIKA keagungannya pada abad ke-15, Melaka ialah sebuah kota antarabangsa yang makmur dengan aktiviti perdagangan dan perniagaan. Negeri yang terkenal dengan kebijaksanaan Bendaharanya Tun Perak dan kehandalan Laksamana Hang Tuah itu, banyak meninggalkan asas kenegaraan dan kemasyarakatan di negara kita. Misalnya sistem beraja dan undang-undang bertulis negeri Melaka menjadi asas kepada sistem kenegaraan negara kita.

Dalam konteks sejarah sosial, Melaka ialah negeri yang mula-mula mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menurut beberapa orang pengkaji sejarah seperti O.W.Wolters dan Wang Gungwu, Melaka mula mengamalkan sikap liberal dan terbuka sejak pemerintahan Iskandar Syah (Parameswara) dan dua orang pengganti selepasnya. Mereka menggalakkan pedagang dan orang luar datang ke pelabuhan Melaka sehingga terbentuknya masyarakat majmuk di kota Melaka.

Melaka ketika itu bukan sahaja didatangi oleh pelbagai etnik dari Nusantara (Kepulauan Melayu), malah pelbagai bangsa dari pelbagai tempat di dunia, seperti Parsi, Arab India, China, Burma dan Kemboja (Champa). Menurut Tom Pires, selepas kemangkatan Parameswara, penduduk Melaka berjumlah kira-kira 6,000 orang.

Winstedt dalam bukunya History of Malaya menyebut bahawa penduduk Melaka meningkat kepada 40,000 orang dewasa ketika pemerintahan Sultan Alauddin dan menjadi 190,000 orang sebelum Portugis menyerang Melaka. Kaum pendatang di Melaka ketika itu sangat menghormati budaya dan adat rakyat tempatan (orang Melayu). Mereka bergaul mesra dengan masyarakat tempatan sehingga ada dalam kalangan orang asing itu diberi peluang dalam mobiliti sosial dengan terbabit secara langsung dalam institusi pentadbiran Melaka.

Melaka juga sejak awal lagi merakamkan bahawa proses asimilasi budaya pernah berlaku di negeri itu sehingga mewujudkan beberapa komuniti masyarakat yang unik, iaitu komuniti Cina Peranakan yang dikenali sebagai Nyonya Baba dan India Peranakan yang dikenali sebagai komuniti Ceti. Oleh itu, apabila kita membicarakan mengenai perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat, Melaka harus dijadikan rujukan dalam memahami keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Catatan mengenai keharmonian hidup masyarakat majmuk ini terdapat dalam beberapa catatan Abdullah Munsyi dalam bukunya "Hikayat Abdullah" (Pustaka Antara, 1963).

Abdullah Munsyi ada mencatatkan di dalam hikayatnya bahawa penduduk Melaka terdiri daripada pelbagai komposisi bangsa dan kaum. Abdullah menyebut bahawa Melaka sudahpun dihuni oleh penduduk pelbagai bangsa, iaitu Melayu, Cina, India dan Nasrani (Portugis). Dalam Bab 6 buku berkenaan, beliau menyebut bahawa pelbagai bangsa yang menetap di Melaka itu hidup dalam suasana aman dan damai. Abdullah menggambarkan bahawa keadaan keharmonian masyarakat berbilang kaum itu wujud kerana ada sifat setia dan taat kepada pemerintah ketika itu.

Abdullah juga mencatatkan hubungan antara kaum di Melaka begitu kuat dan harmonis sehingga seorang budak yang nakal dari satu bangsa boleh ditegur oleh bangsa lain. Malah, boleh dipukul oleh ibu bapa bangsa lain. Ibu bapa budak yang dipukul atau ditegur itu akan berterima kasih kepada mereka kerana mengambil berat akan perlakuan atau perangai anaknya.

Perkara itu ada dijelas dalam Bab 4 oleh Abdullah apabila beliau menulis :
".... dalam negeri Melaka, baik bangsa apa, seseorang menaruh malu akan seseorang, dan seseorang takut akan seseorang. Maka jika kiranya anak Melayu membuat pekerjaan jahat atau barang sebagainya yang tidak baik, dilihat orang Cina atau bangsa manapun, maka boleh diajarnya dan dipukulnya akan dia, maka itu dipuji oleh ibu bapa budak itu..."

Demikianlah eratnya hubungan antara kaum dan indahnya suasana harmonis yang wujud di Melaka seperti yang dicatat Abdullah itu. Menurut penulis artikel ini, pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, masyarakat tempat penulis dilahir dan dibesarkan (di Melaka) masih dapat melihat suasana demikian dengan bangsa lain boleh menegur anak jiran tanpa rasa takut atau bimbang dimarahi ibu bapa budak yang ditegur itu. Malah ada yang merotan sekali dua di kaki atau punggung budak yang nakal atau melakukan kejahatan di hadapannya.

Hari ini, semuanya sudah berubah kerana masyarakat semakin bersifat individualistik. Hari ini, jangan dikatakan menjentik anak jiran, malah menegur sekali pun boleh mengundang pergaduhan dan perseteruan.

Alangkah indahnya masyarakat kita sekiranya perpaduan yang sekarang sedang kita janakan semula melalui gagasan 1Malaysia boleh mencapai tahap seperti itu. Rasanya sukar untuk kita alami suasana seperti itu kembali. Namun, apa yang penting ialah perlunya kita memperkukuh perasaan hormat-menghormati, bertolak ansur, rendah hati dan berbudi bahasa antara satu sama lain tanpa mengira kaum. Amalan itu adalah nilai murni yang ingin diterapkan melalui gagasan 1Malaysia.

(Diubahsuai daripada rencana yang ditulis oleh Mohd Ayob Abd Rashid, Berita Harian, 1 Jun 2010) .../rbj