"Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

(Dipetik daripada "500 Tahun Menghadapi Cabaran" - Kamaruddin M.Said, 2004)

Friday, July 31, 2009

PASUKAN WATANIAH


Pasukan sukarela Wataniah ditubuhkan hasil daripada perbincangan antara Richardson (pemimpin gerila Force 136 di Pahang) yang menggunakan nama rahsia ‘Kiwi’ dengan Yeop Mahidin yang menjadi Penolong Pegawai Daerah Raub pada masa itu. Semasa berada di Pahang sebelum Jepun menyerah diri, Richardson dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel sebagai pemerintah bagi gerila Wataniah di Pahang.

Sebagai pemimpin Melayu yang dihormati dan berpengaruh dalam kalangan orang-orang Melayu, beliau diharapkan dapat membantu memberi maklumat terperinci tentang kekuatan tentera Jepun di seluruh negeri Pahang. Nama rahsia Yeop Mahidin ialah ‘Singa’.

23 Julai 1945 merupakan hari yang bersejarah bagi Richardson dan Force 136 di satu pihak dengan ‘Singa’ di satu pihak yang lain. Setelah bermesyuarat selama 4 jam, beberapa persetujuan telah dicapai. Pertama, mereka bersetuju bahawa satu gerakan sulit ditubuhkan dengan diberi nama WATANIAH. Gerakan ini ditubuhkan dengan tugas penting untuk membantu Tentera Bersekutu mengambil balik Tanah Melayu dan Singapura daripada tangan Jepun.

Yeop Mahidin dicadangkan dilantik sebagai pegawai pemerintahnya berpangkat Leftenan Kolonel. Sultan Pahang dilantik sebagai Kolonel Kehormat. Ini bermakna bahawa pasukan ini bebas bergerak dan tidak perlu menunggu perintah dari Colombo atau India.

SEAC dan Force 136 akan memberi kerjasama dengan membekalkan senjata, pakaian seragam, makanan dan segala keperluan lainnya. Malah Yeop Mahidin apabila ditanya oleh Richardson berapakah gaji bulanan yang patut dibayar kepada mereka. Yeop dengan tegas menjawab bahawa mereka tidak perlu diberi upah kerana pasukan ini adalah pasukan sukarela.

Ini bermakna bahawa mereka yang benar-benar jujur dan sedia berkorban kerana cinta akan tanah air sahaja yang akan menyertai gerakan ini. Oleh itu, mereka tidak perlu diberi ganjaran.

Adalah menjadi tugas Force 136, MPAJA, dan pasukan sukarelawan seperti Wataniah dan Askar Melayu Setia membantu kembalinya tentera British ke Tanah Melayu serta turut sama menentang British.

Foto : Gambar beramai-ramai - DYMM Sultan Pahang, Abdul Razak Hussien, Yeop Mahidin
Abdul Razak Hussein (berdiri no. 3 dari kanan) dan DYMM Sultan Abu Bakar - Pemerintah Kehormat Gerila Wataniah (duduk di tengah) /rbj

Thursday, July 30, 2009

FORCE 136



Force 136 ialah nama kod yang diberi kepada satu ketumbukan khas gerakan bawah tanah yang ditubuhkan semasa Perang Dunia ke-2 dengan markas pusatnya di Ceylon (Sri Lanka) dan India. Dua negara ini merupakan antara negara-negara Asia jajahan British yang tidak berjaya ditawan oleh Jepun dan sekutunya.

Nama Force 136 hanya digunakan kira-kira pada bulan April 1944. Markas asal Force 136 ialah Meerut, India, kemudiannya dipindahkan ke New Delhi buat sementara dan akhirnya ke Kandy, Ceylon.

Force 136 naungan SEAC (South East Asia Command) dibahagikan kepada 3 kumpulan, iaitu A, B, & C. Kumpulan A meliputi negeri Thai dan Burma; Kumpulan B meliputi Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia, manakala Kumpulan C meliputi Indo-China dan China. Setiap kumpulan dibahagi pula kepada negara masing-masing (Country Section), Tanah Melayu dikenali sebagai Force 136 Malayan Country

Pegawai atau penolong kanan bagi setiap kumpulan diberi nama kod (nama samaran) seperti Harimau, Singa, Beruang, Kiwi, Tikus, dan lain-lain. Nama-nama inilah yang biasanya digunakan dalam perhubungan untuk menghantar maklumat dan untuk hal-hal yang sulit dan rasmi, supaya identiti seseorang itu tidak dikenali oleh pihak musuh.

Tokoh yang paling awal menganggotai Force 136 Malayan Country ialah Richard Broome (bekas pegawai MCS) dan John Davis (bekas pegawai polis di T.Melayu), dan bagi orang Melayunya ialah Tengku Mahmood Mahyideen yang diberi tugas untuk memimpin kumpulan Melayu semasa di India dan Ceylon.

Tengku Mahmood Mahyideen ialah seorang putera mahkota Wilayah Pattani yang tinggal di Kota Bharu dan bertugas sebagai Inspector of School bagi negeri Kelantan. Beliau ialah anak kedua Sultan Abdul Kadir atau Pyar Pipit, iaitu raja Melayu Pattani yang terakhir. Bersama-sama beliau di New Delhi antaranya ialah (Tun) Mohd Suffian Hashim yang bertugas di bahagian Melayu All-India Radio.

Pada tahun-tahun 1943-1944, Tengku Mahmood Mahyideen giat melawat beberapa tempat di India dan di luar India seperti Makkah, Jeddah dan juga London untuk mengambil anak-anak Melayu menganggotai pasukan sukarelawan Force 136.

Setiap mereka ini dikehendaki menjalani pelbagai latihan untuk beberapa bulan lamanya. Antara latihan yang dijalankan temasuklah latihan jasmani, kawat, menembak, serangan komando, sabotaj, membaca peta, mengendalikan perahu kayak dan perahu getah, serta latihan menggunakan payung terjun. Latihan tentera dijalankan dibeberapa tempat seperti di Bombay, Poonah, Jubbulpore, Madras, Jessore, Trincomalee, Rawalpindi, Bengal, Colombo, Calcutta dan di kaki Gunung Himalaya.

Pasukan Force 136 bekerjasama dengan MPAJA (yang mendapat bantuan senjata daripada Tentera Bersekutu), Pasukan Askar Melayu Setia dan Pasukan Wataniah dalam usaha untuk mengusir tentera Jepun dari Tanah Melayu.

Sumber : Peranan Gerila Melayu Force 136, Wan Hashim Wan Teh, 1993

Wednesday, July 29, 2009

Peranan Gerila Melayu : Satu imbasan



Sebagai gerakan yang lahir dalam kancah Perang Dunia Kedua, Pasukan Force 136 dan juga Pasukan Wataniah (rujuk buku teks SEJARAH Ting. 3 m.s 25) - adalah suatu manifestasi konflik terbuka kuasa-kuasa penjajah seperti Amerika-Britain dan sekutunya di satu pihak dan Jerman-Italy dan Jepun di satu pihak lain.

Pasukan Force 136 dan Pasukan Wataniah menggambarkan suatu reaksi orang-orang Melayu terhadap penjajahan Jepun yang dianggap satu kuasa penjajah yang bengis dan kejam dibandingkan dengan penjajah British sebelumnya.

Yang menariknya, sebahagian penting anggota pejuang Melayu Force 136 ialah golongan pelajar yang masih belum menamatkan pengajian mereka. Walau bagaimanapun, demi menyahut panggilan tanah air dan bangsa sendiri yang dahagakan kedamaian, mereka sanggup menggadai nyawa untuk menebus maruah bangsa, antaranya ialah (Tun) Abdul Razak Hussein, (Tun) Hussein Onn, (Tun) Suffian Hashim.

Foto :
1) Dato Onn Jaafar bergambar dengan anaknya Hussein Onn (no. 3 dari kanan) dan Ibrahim Ismail (duduk kiri sekali) sebelum bertolak untuk menjalani latihan tentera di India.
2) Mohd Suffian Hashim (duduk di tengah) bersama anak-anak muda lainnya semasa di India.

bersambung ... Force 136 / rbj

Sunday, July 19, 2009

HAC 2009 - Penghargaan untuk Panitia Sejarah

Pada hari Sabtu lepas, 18 Julai 2009 telah diadakan Hari Anugerah Kecemerlangan di SMKTP. Ini merupakan hari yang penuh bermakna kepada murid-murid yang telah berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam kurikulum, khususnya Peperiksaan PMR & SPM.

Selain itu, panitia yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dan juga yang mempunyai peningkatan dalam peratus lulus keseluruhan juga diberi penghargaan pada majlis tersebut. Pada tahun ini Panitia Sejarah telah diberi penghargaan kerana telah menunjukkan peningkatan peratus lulus dalam peperiksaan SPM 2008.

Tahniah, semoga pada tahun ini panitia sejarah terus menunjukkan prestasi yang baik sama ada dalam PMR ataupun SPM.

-rbj

Wednesday, July 15, 2009

Struktur Organisasi Panitia Sejarah

STRUKTUR ORGANISASI PANITIA SEJARAH

Ketua Panitia : Puan Nooraihan Bt. Zainal Abidin

Penolong Ketua Panitia :

Setiausaha :

Ahli-ahli :
Puan Roshanilawatey Bt. Jusoh
Puan Noraisah Bt. Abd Rani
Puan Zalina Bt. Tambi
Puan Norizan Bt. Abd Rahman
Puan Roslina Bt. Ismail
Cik Fuziellah Bt. Abu Bakar
Puan Suriani Bt. Awang
Puan Zaimuni Bt. Hamzah
Puan Siti Suriyati
Puan Maziana Bt. Ismail
Puan Hamidah
Puan Theyvi
Encik Wan Zamzuri

(akan kemaskini kemudian - tunggu KP balik... atau S/U Panitia yang kemaskinikan...t/k - rbj)

Matlamat Pendidikan Sejarah


"Matlamat pendidikan sejarah adalah untuk memupuk semangat setia dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia. Melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah tanah air, para pelajar akan dapat memahami keadaan masyarakat dan negara dalam mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan terhadap masyarakat dan negara sebagai suatu unit tunggal, mewujudkan ingatan bersama terhadap sejarah sebagai rangka rujukan kesedaran kebangsaan dan memperkukuhkan semangat cinta akan tanah air."

-rbj

Sumber : Sukatan Pelajaran Sejarah Sekolah Menengah (KPM, 1988)

Kepentingan Pendidikan Sejarah


Seringkali wujud tanggapan bahawa sejarah tidak ada apa-apa kegunaan dalam kehidupan manusia. Ia dianggap tidak boleh digunakan secara praktikal dalam kehidupan seharian dibandingkan dengan disiplin-disiplin ilmu yang lain seperti sains, teknologi, perakaunan dan sebagainya.

Menurut Rogers (1987), tiada sesiapa pun yang boleh terlepas daripada masa lampau. Beliau menjelaskan bahawa sejarah memberi pemahaman dengan mendalam mengenai pengalaman dan peristiwa lalu yang berkesinambungan dengan masa kini.

Prof. Wang Gangwu (1964) menyatakan secara jelas kepentingan pendidikan sejarah dengan menyatakan pengajaran sejarah adalah bidang penting untuk generasi muda dan bangsa moden di dunia ini.

Secara ringkas, sejarah mempunyai kepentingan-kepentingan berikut :
* Sejarah memberi pengajaran
* Pendidikan sejarah memberikan kefahaman mengenai masa kini
* Sejarah meningkatkan intelektual
* Sejarah dapat membentuk sikap manusia
* Sejarah untuk pembinaan bangsa
* Sejarah sebagai alat propaganda
* Sejarah bagi pendidikan agama
* Sejarah bagi memahami perkembangan ilmu-ilmu pengetahuan yang lain
* Sejarah bagi meningkatkan kesedaran hak asasi manusia.

-rbj

Pendahuluan

Mata pelajaran Sejarah dalam Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) ialah mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua murid di peringkat sekolah menengah. Ini selaras dengan hasrat dan matlamat Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang menekankan perkembangan yang seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Oleh itu, kemahiran sejarah bukan sahaja menuju ke arah pemerolehan ilmu pengetahuan, tetapi juga ke arah perkembangan kemahiran belajar dan pemupukan serta penghayatan nilai-nilai (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1989) - rbj