"Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

(Dipetik daripada "500 Tahun Menghadapi Cabaran" - Kamaruddin M.Said, 2004)

Wednesday, May 26, 2010

ORANG-ORANG PERAK MENYERANG ANGKATAN LAUT BELANDA


HARI INI DALAM SEJARAH

Tarikh Peristiwa: 27.05.1658
________________________________________Justify Full
Pada hari ini 27.05.1658, satu pertempuran telah berlaku di antara orang-orang Perak dengan angkatan laut Belanda. Pertempuran itu berlaku ketika kapal-kapal laut Belanda yang diketuai oleh Joan Truitmans sedang menghalang Perak daripada menjalankan perdagangan dengan saudagar-saudagar asing. Belanda mengambil tindakan demikian kerana tidak berpuashati terhadap orang-orang Perak yang kerap melanggar syarat-syarat perjanjian persahabatan dan perdagangan yang dibuat di antara kedua pihak dalam tahun-tahun 1650, 1653 dan 1655.

Orang Perak menganggap perjanjian tersebut tidak sah kerana perjanjian itu dibuat secara paksa dan juga kerana perbezaan agama. Perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Perak adalah kerana desakan Acheh dan mereka menganggap campurtangan Belanda telah menggugat kepentingan mereka yang mengamalkan perdagangan bercorak bebas. Syarat-syarat perjanjian perdagangan bijih timah misalnya hanya menguntungkan Belanda. Belanda telah mengenakan harga dagangan yang rendah dan Perak terpaksa membayar gantirugi. Ketidakpuasan hati menyebabkan Perak kerap kali menyerang loji-loji perniagaan dan kapal-kapal Belanda di Kuala Sungai Perak dalam tahun 1651-1657.

Akibat dari itu, Belanda telah mengepung dan mengawasi perairan Perak untuk menghalang sebarang perdagangan tempatan. Ini menyebabkan orang-orang Perak menyerang dan membakar loji-loji perniagaan Belanda pada 23 April 1658 di Kuala Bernam serta berjaya melumpuhkan kegiatan Belanda di situ. Dengan serangan itu yang berlaku pada hari ini dalam tahun 1658, Perak telah menyerang angkatan laut Belanda yang sedang mengepung perairannya.


“Sejarah Pembimbing Generasi” ... /rbj

Tuesday, May 25, 2010

PBS Sejarah PMR




Nasiblah Blog Panitia Sejarah ini... tidak ada yang hendak update... ke mana KP Sejarah & S/Unya...? KP kenalah jenguk-jenguk sama ke blog ini... jangan sampai ia terus menjadi 'sejarah'...!

Sebagai ahli panitia Sejarah, sudah lama saya tidak update blog ini setelah membinanya lebih setahun yang lalu (ketika KP bercuti panjang)... malu juga setelah ditegur tengah hari tadi.

Dalam minggu ini murid-murid Tingkatan 3 sedang sibuk bertungkus-lumus menyiapkan Kerja Kursus Sejarah bagi memenuhi keperluan PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) di peringkat PMR. Pada tahun ini tajuk Kerja Kursus Sejarah ialah "PERAYAAN TRADISI KAUM DI MALAYSIA". Bagi segelintir murid yang agak liat tu, terpaksalah dikerah oleh guru Sejarah berkenaan agar murid-murid kesayangan dapat menyiapkan tugasan walaupun agak minimum. Bahan bukti penting bagi tujuan pemarkahan.

Untuk menyiapkan Kerja Kursus tersebut, murid-murid perlu melengkapkan Elemen 1 (mengumpul fakta), Elemen 2 (merekodkan fakta) dan Elemen 3 (esei) mulai Mac hingga akhir Jun 2010. Markah penuh bagi setiap Elemen ialah 4 markah, menjadikan kesemuanya 12 markah.

Elemen 1 : antara sumber yang dikumpulkan oleh murid-murid SMKTP dengan bantuan guru ialah : Buku Ilmiah , Akhbar , Majalah, bahan internet, VCD dan Sumber-sumber lain. Sekurang-kurangnya perlu ada 4 sumber untuk mendapat markah penuh (4 markah)

Elemen 2 : murid hendaklah melengkapkan 9 senarai kandungan seperti berikut bagi mendapat markah penuh, 4 markah, iaitu...
1) Tajuk
2) Senarai Kandungan
3) Penghargaan
4) Objektif Kajian
5) Kaedah Kajian
6) Hasil Kajian (perlu mengandungi sekurang2nya 4 sub topik)
7) Rumusan
8) Lampiran
9) Rujukan

Elemen 3 : Murid-murid perlu menulis sebuah esei berdasarkan tajuk yang diberi dengan panjangnya lebih kurang 100 patah perkataan. Dalam esei ini perlu dimasukkan sekurang-kurangnya 4 nilai patriotisme sebagaimana yang telah disenaraikan.

Sebelum menjelangnya Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010 (bagi murid Ting.3) yang akan bermula pada hari Khamis ini, hampir sebahagian besar murid sudah menyiapkan Elemen 1 dan Elemen 2. Elemen 3 pula akan disiapkan oleh mereka selepas cuti nanti dengan bantuan guru-guru Sejarah, terutama sekali bagi kelas-kelas yang pencapaiannya sederhana dan lemah.

Tajuk ini sebenarnya menarik dan memberi peluang kepada murid-murid untuk lebih memahami perayaan tradisi kaum di Malaysia.

Umum mengetahui bahawa rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum kaya dengan adat, kepercayaan dan kebudayaan yang berbagai-bagai, Keunikan yang dilahirkan inilah akhirnya membentuk satu kebudayaan yang menarik dan istimewa untuk diketengahkan dalam kalangan pelancong asing yang saban tahun membanjiri negara kita.

Dari segi sambutan perayaan setiap kaum, baik Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, mereka berpeluang meraikan bersama-sama dalam konteks masyarakat majmuk. Hal ini jelas menggambarkan perpaduan dan semangat muhibah berjaya dipupuk.

Kemeriahan sambutan perayaan kian terasa apabila amalan berkunjung antara satu sama lain diamalkan, tidak kira di desa mahupun di kota. Selain itu, sambutan perayaan di peringkat kebangsaan melalui "Rumah Terbuka" yang diadakan setiap tahun menunjukkan keharmonian kaum di negara ini terpelihara.

Semoga semua tugasan dapat disiapkan sebelum akhir Jun ini...- rbj