"Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

(Dipetik daripada "500 Tahun Menghadapi Cabaran" - Kamaruddin M.Said, 2004)

Monday, August 31, 2009

Upacara Pengisytiharan Kemerdekaan 1957


Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.

Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.

Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Perlis (berpakaian biru dan perak) Sultan Kedah (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.

Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.

Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain akan pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pengisytiharan Kemerdekaan".

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikiuti oleh pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan.

Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England./ rbj

Sunday, August 30, 2009

Pemasyhuran Kemerdekaan : Malam Merdeka


Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil disaksikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman. /rbj

Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 : Tetamu Kehormat

Apabila Tanah Melayu meraikan Hari Kemerdekaannya yang pertama, hotel-hotel baru didirikan di serata Kuala Lumpur untuk menampung delegasi luar yang bakal datang setelah dijemput oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menyaksikan hari bersejarah tersebut.

Barisan pertama perwakilan asing ke Tanah Melayu ialah:

• Raja dan Permaisuri Siam
• Putera dan Puteri Mahkota Jepun
• Johannes Gerhardus Strijdom, Perdana Menteri Afrika Selatan
• Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India
• Huseyn Shaheed Suhrawardy, Perdana Menteri Pakistan
• Pham Van Dong, Perdana Menteri Vietnam
• Solomon Bandaranaike, Perdana Menteri Ceylon (Sri Lanka)
• U Nu, Perdana Menteri Burma
• Sim Var, Perdana Menteri Kemboja
• Sir Alexander Grantham, Gabenor Hong Kong
• John Foster Dulles, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (mewakili Presiden Amerika Syarikat)
• Duta Australia, Kanada dan New Zealand
• Lim Yew Hock, Ketua Menteri Singapura
• Putera Henry, Duke of Gloucester (wakil Ratu Elizabeth II), Puteri Alice, Duchess of Gloucester dan Putera William of Gloucester
• Sir Gerald Templer (bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu)
• Lady Gurney dan Lady Gent (isteri bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu).

Ketika mendarat di Lapangan Terbang Sungai Besi, tetamu kehormat telah disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald Charles MacGillivray dan Lady MacGillivray, Yang di-Pertuan Agong Tanah Melayu yang pertama, Tuanku Abdul Rahman diiringi Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, Tunku Abdul Rahman.

Thursday, August 27, 2009

Jalur Gemilang

Jalur Gemilang dahulunya dikenali sebagai Bendera Malaysia, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia.

Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia.

Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Sejarah Nama Jalur Gemilang

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Nama bendera Malaysia, iaitu Jalur Gemilang telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang.

Oleh hal yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara.

Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas./ rbj

Bendera Malaysia

Bendera Malaysia adalah berasal dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan rekabentuk Bendera Malaysia yang mengikut rekabentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru - Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963.

Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.) /rbj

Wednesday, August 26, 2009

Sejarah Bendera Persekutuan Tanah Melayu

Sejarah penerimaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja di mana sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk Bendera.

Satu pertandingan di peringkat kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Sebanyak 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga rekabentuk bendera telah terpilih ke peringkat akhir.

a) Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima.

b) Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu.

c) Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 29 November 1949 menunjukkan majoriti orang telah memilih rekabentuk ketiga. Rekabentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.

Rekabentuk tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

Rekabentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.

Saturday, August 15, 2009

Menjelang Peperiksaan Percubaan PMR


Kesilapan Calon PMR Mempelajari Sejarah & Cara Mengatasinya

Terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh calon ketika belajar Sejarah.

Antaranya ialah tidak mengulangkaji secara konsisten, kurang membuat latihan, gemar meramal soalan dan tidak mengetahui teknik menjawab soalan dengan betul. Cerita arnab dan kura-kura memberi banyak pengajaran berkaitan dengan penggunaan masa, ketahanan mental dan usaha yang konsisten.

Dalam kisah itu, Sang Arnab yang mempunyai kekuatan berlari dengan pantas telah dikalahkan oleh Sang Kura-Kura yang berjalan lambat tetapi konsisten. Sebenarnya istilah ‘tiada mood’ atau ‘ada mood’ tidak harus wujud dalam mengulangkaji pelajaran.

Pada peringkat sejarah PMR, kandungan sukatan pelajaran Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua adalah menarik dan ringan. Sukatan pelajaran Tingkatan Tiga lebih ringan! Calon boleh merujuk guru Sejarah pada bila-bila masa jika menghadapi masalah pemahaman terhadap sesuatu tajuk. Calon perlu menghabiskan 3 jam sehari atau sekurang-kurangnya sejam bagi mana-mana tajuk Sejarah tersebut.

Di samping melakukan ulangkaji secara konsisten, calon perlu membuat latihan untuk meningkatkan kecekapan. Kekerapan mengulangkaji adalah kunci kepada kefahaman kerana ia mengatasi proses lupa! Ingat! Lupa berlaku disebabkan oleh maklumat yang diterima tidak diulangi dan diulangkaji.

Cara belajar Sejarah yang berkesan ialah melalui proses yang sistematik, iaitu maklumat yang dibaca dimasukkan dalam minda secara tersusun dan konsisten. Semak tajuk yang belum diulangkaji dan tajuk yang belum diulangkaji.

Calon perlu menyedari bahawa latihan di kelas, di pusat tuisyen dan di rumah bertujuan memberi kefahaman tentang sesuatu topik. Namun begitu, ramai calon PMR membuat latihan secara sambaleweng dan tidak sepenuh hati. Ramai calon PMR tidak menggunakan masa luang yang ada.Lebih malang lagi ada calon tidak berusaha membuat persediaan (tidak mengulangkaji) sebelum menjawab soalan latihan yang diberi oleh guru.

Ingat! Belajar Sejarah yang berkesan ialah melalui proses ulang dan kaji.
Janganlah mengharapkan keputusan yang cemerlang, sekiranya kekerapan anda mengulangkaji boleh dihitung dengan jari. Saya ulangi, calon perlu kerap membaca dan mengulangkaji untuk mengingat fakta Sejarah. Saya mengesyorkan calon PMR mengulangkaji bab yang mudah dahulu dikuti bab yang lebih sukar secara konsisten.

Ramai calon PMR mengulangkaji mengikut bab yang mereka sukai sahaja. Ini baik untuk mendorong anda bersemangat dan meminati pelajaran Sejarah. Namun begitu, topik dalam Sejarah mempunyai kesinambungan iaitu ditulis dari bab yang mudah kepada bab yang susah. Calon harus menguasai bab yang awal dahulu sebelum bab yang kemudian. Walau apa pun anda perlu menghadiri kelas pada setiap hari. Kegagalan anda mengikuti sesuatu tajuk akan mengganggu kefahaman anda terhadap tajuk tersebut.

Terdapat pelbagai teknik pembelajaran Sejarah seperti menyenaraikan isi kandungan, menulis nota peta minda, teknik perbincangan, penggunaan teknik mneumonik untuk tajuk yang membosankan dan sebagainya. Kesemua teknik adalah berkesan dan baik jika bersesuaian dengan cara anda belajar.


Kelemahan Calon PMR Menjawab Soalan :

Salah satu kelemahan calon PMR ialah menjawab soalan aneka pilihan dan aneka pelengkap dengan teknik yang cepat, tepat dan betul. Calon perlu mempunyai pengetahuan, maklumat dan telah menguasai semua tajuk dalam buku teks Sejarah.


Secara umum calon perlu menjawab soalan objektif menggunakan kaedah berikut.

* Pastikan bahawa anda membaca semua soalan dengan teliti. Fahamkan betul-betul sebelum menjawab

* Jawab semua soalan yang anda pasti atau yakin tentang jawapannya terlebih dahulu sebagai strategi memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya.

* Tandakan jawapan anda dengan jelas di tempat yang disediakan sebaik sahaja setiap soalan dibaca

* Tinggalkan dahulu soalan susah atau tidak pasti jawapannya.

* Bagi soalan susah atau anda tidak pasti dengan jawapannya, pilih jawapan yang betul dengan memotong pilihan jawapan yang tidak munasabah atau meragukan melalui kaedah peyingkiran

* Singkirkan pilihan jawapan yang tidak munasabah atau meragukan anda

* Jika tinggal dua jawapan, pilih jawapan yang anda fikir lebih tepat dan munasabah

Usaha Tangga Kejayaan.../ rbj

Tuesday, August 11, 2009

Seminar Sejarah PMR 2009





Pagi tadi bermulalah siri seminar menjawab Sejarah PMR. Terima kasih, Puan Zalina atas penyampaian yang berkesan. Harapan agar murid-murid 3K9 & 3K10 dapat memanfaatkan ilmu yang disampaikan dalam menghadapi peperiksaan PMR nanti...
Esok siri kedua - Seminar Menjawab Sejarah PMR untuk kelas 3K11, 3K12 & 3K13. Jumpa lagi.... /rbj

Monday, August 10, 2009

Seminar Sejarah PMR


Mulai esok, 11 Ogos 2009, Seminar Menjawab Sejarah PMR dijangka diadakan (berperingkat-peringkat) bagi murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan PMR tidak lama lagi . Ceramah akan disampaikan oleh JU Negeri bagi mata pelajaran Sejarah, yang juga guru Sejarah di SMKTP, iaitu PUAN ZALINA TAMBI.

Semua murid yang terlibat diminta berkumpul di Dewan Blok Baharu. Seminar tersebut akan bermula pada 8.30 hingga 10.00 pagi. Guru-guru Sejarah lain yang terlibat ialah Cik Fuziellah Abu Bakar, Puan Ruslina Ismail dan Puan Roshanilawatey Jusoh. /rbj

Saturday, August 8, 2009

Peristiwa DYMM Sultan Pahang Diculik



Dalam keadaan yang tidak menentu pada pertengahan Ogos 1945, DYMM Sultan Abu Bakar telah berangkat dari istana baginda di Pekan ke Kuala Lipis yang pada masa itu merupakan pusat pentadbiran bagi negeri Pahang. Keberangkatan baginda bertujuan untuk membincangkan pentadbiran negeri Pahang yang pada masa itu dalam keadaan tidak menentu.

Dalam perjalanan pulang, baginda dikatakan hilang kerana diculik semasa berada di ladang Ng Tiong Kiat (kini dikenali juga dengan Pekan Sg Jerik, Jerantut). Lokasinya antara Jerantut dan Kuantan. Menurut cerita yang tersebar luas, baginda diculik oleh MPAJA. Ekoran daripada peristiwa itu, pihak Jepun mengapi-apikan perasaan orang Melayu supaya bangkit menentang orang Cina dan MPAJA.

Peristiwa sebenar tentang 'penculikan' DYMM Sultan Abu Bakar telah diceritakan oleh Tan Sri (Jeneral) Ungku Nazaruddin bin Ungku Muhammad (bapanya ada bersama rombongan DYMM Sultan sebagai jurubahasa) dalam suatu majlis pengkisahan pada malam 17 April 1992 bersempena dengan Seminar Sejarah Negeri Pahang.

Baginda dan rombongan bertolak ke Kuala Lipis pada 16 Ogos 1945 sebagai memenuhi jemputan Gabenor Pemerintah Tentera Jepun bagi negeri Pahang Darul Makmur untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 15 Sept 1945. Selain itu, Gabenor bagi negeri Pahang itu memberitahu bahawa beliau akan menamatkan khidmatnya di negeri Pahang dan seorang yang baru akan mengambil alih tempatnya. Digambarkan pertemuan itu diadakan "dalam suasana yang dingin serta penuh dengan syak wasangka". Sebabnya, ketika itu sudah nampak tanda-tanda bahawa Jepun terpaksa menyerah diri setelah berlakunya pengguguran dua biji bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Dalam perjalanan pulang, ketika sampai di ladang ubi Ng Tiong Kiat, kira-kira pukul 6.00 petang, mereka berhenti di situ untuk mengambil 2 ekor kambing gurun yang dipesan oleh Tuanku sendiri semasa dalam perjalanan dari Pekan ke Kuala Lipis. Di sinilah mereka 'diculik', iaitu diarah supaya tinggal di kem kumpulan gerila OSS 404 (Cairgorum II) yang dipimpin oleh Geaney bersama dengan gerila Force 136 kumpulan Pontoon di bawah pimpinan Mejar Leonard. Tuanku dan ahli rombongan cuma diberitahu bahawa penculikan ini terpaksa dilakukan demi menjaga keselamatan Tuanku sebagai pemerintah tertinggi negeri Pahang.

Dari ladang ubi Ng Tiong Kiat, Tuanku dan rombongan dibawa masuk ke kawasan pedalaman Hutan Simpanan Jengka-Chenor, iaitu kem gerila British dan Amerika. (kini kawasan ini menjadi penempatan Felda Jengka).

DYMM serta rombongan berangkat balik meninggalkan tempat perladangan itu pada 12 September, iaitu setelah 27 hari berada di kawasan hutan simpanan itu dan setelah diberitahu bahawa Jepun telah menyerah diri. Tuanku diiringi oleh kumpulan Force 136 bersama dengan 10 anggota gerila wataniah yang berpakaian seragam lengkap dengan senjata.

Difahamkan bahawa markas SEAC di Colombo telah meminta Force 136 dan OSS 404 (Amerika) memberi perlindungan kepada DYMM dan rombongan kerana kuatir pada masa kekosongan kuasa dalam masa peralihan di antara penyerahan diri Jepun dan kedatangan Tentera Bersekutu, pihak MPAJA akan mengambil peluang untuk merampas kuasa dan menggunakan Tuanku sebagai tebusan.

Sesampainya Tuanku di Istana Seri Terentang, Bandar Diraja Pekan, baginda disambut seperti "orang mati hidup semula" kerana ada di antaranya yang menyangka bahawa DYMM telah mangkat dibunuh oleh MPAJA.

Sekadar berkongsi maklumat .../rbj

Foto (1) : DYMM Sultan Abu Bakar (2) Residency, iaitu tempat tinggal Gabenor Jepun di Kuala Lipis yang merupakan tempat pertemuan antara Gabenor dan Baginda Sultan.

Sumber : Buku "Peristiwa Almarhum Sultan Abu Bakar Di Ladang Ng Tiong Kiat Pada Tahun 1945" oleh Ungku Nazaruddin, Lembaga Muzium Negeri Pahang.

Thursday, August 6, 2009

Debu Hiroshima : Gugurnya sebutir bom !



Hari ini, 6 Ogos, 64 tahun yang lalu gugurlah sebutir bom atom di bandar Hiroshima. 3 hari berikutnya, iaitu pada 9 Ogos bandar Nagasaki pula dibom. Bom atom yang buat pertama kalinya digunakan dalam sejarah tamadun manusia ini meninggalkan kesan yang amat dahsyat.

Dalam tragedi ini, beberapa orang anak Melayu yang menuntut di Jepun pada waktu itu berhadapan dengan saat-saat getir bertarung nyawa untuk hidup. Salah seorang daripadanya ialah Abd. Razak Abd. Hamid, anak Melayu yang berasal dari Kampung Baru, KL terkena bom di Hiroshima tetapi selamat!

Pada pukul 8.15 pagi, 6 Ogos 1945, Abd Razak yang ketika itu berusia 20 tahun sedang berada di bilik kuliah Universiti Hiroshima. Tiba-tiba, satu pancaran cahaya yang amat terang membelah cahaya matahari. Sedetik kemudian bangunan universitinya ranap dan Abd Razak tidak sedarkan diri.

Setelah sedar kemudiannya, dia bersama-sama dengan Pangeran Yusof (anak Brunei) keluar daripada runtuhan itu. Apakah yang dilihatnya di luar? Sejauh mata memandang tidak ada apa yang tinggal, padang jarak padang tekukur. Bangunan menyembah bumi. Manusia hangus di sana-sini. Orang yang hidup tidak serupa manusia, kulitnya mengelupas dan dagingnya merah. Jeritan di sana-sini meminta tolong dan meminta air. Air sungai sudah beracun!

Bermula dari detik itu, Abd Razak mengalami pengalaman yang pahit, sedih dan dahsyat. Mulalah dia mengumpulkan debu-debu kehidupan teman-temannya dan orang-orang yang dikenalinya di samping menolong dan menyelamat mangsa-mangsa yang lain.

Inilah suatu kisah dahsyat yang ngeri, sedih, pilu dan penuh linangan air mata. Dalam keadaan inilah anak Melayu ini tegak dan terus hidup dengan tiada apa-apa cacat celanya. Sesuatu yang menakjubkan! Kisah ini diabadikan dalam buku "Debu Hiroshima".

Selepas selamat pulang ke tanah air pada awal November 1945, beliau meneruskan pengajiannya di SITC, Tanjung Malim. Sebelum bersara, beliau merupakan pensyarah bahasa Jepun di ITM (UiTM), Shah Alam.

Menurut Cikgu Razak dalam bukunya itu, persiapan untuk misi itu telah dilakukan 2 tahun sebelumnya. Persiapan membuat bom atom dilakukan dengan nama rahsia 'Projek Manhattan' di padang pasir New Mexico. Apabila persiapan itu beroleh kejayaan, pihak Amerika memindahkan bom itu ke sebuah pelabuhan.

Dari segi bentuknya, tiada luar biasa mengenai bom atom. Ia serupa sahaja dengan bom-bom yang lain, kecuali saiznya yang lebih panjang dan besar. Ia berukuran 3 meter panjang dengan garispusat 0.7 meter. Beratnya 4 tan dengan kekuatan 20,000 tan TNT. Bom ini dibawa oleh kapal terbang pengebom, Enola Gay.

Kehadiran kapal terbang pengebom ni sebenarnya telah dapat dikesan pada pukul 7.25 pagi dan siren amaran serangan udara berkumandang nyaring di bandar Hiroshima untuk kesekian kalinya. Serentak dengan itu, Radio Hiroshima juga menyiarkan pengumuman tentang kedatangan kapal terbang pengebom musuh. Walau bagaimanapun, penduduk-penduduk Hiroshima tidak menghiraukan sama sekali amaran serangan udara itu. Mereka bersikap tenang, seperti biasa kerana telah lali dengan amaran serangan udara.... !

Sesungguhnya, peperangan banyak membawa kemusnahan.../rbj

Sumber : 'Debu Hiroshima', 1987, Othman Puteh - Catatan pengalaman Cikgu Abd Razak di Hiroshima.

Nota : Sejarah Ting. 3 - Bab 1 : Pendudukan Jepun di Tanah Melayu

Friday, July 31, 2009

PASUKAN WATANIAH


Pasukan sukarela Wataniah ditubuhkan hasil daripada perbincangan antara Richardson (pemimpin gerila Force 136 di Pahang) yang menggunakan nama rahsia ‘Kiwi’ dengan Yeop Mahidin yang menjadi Penolong Pegawai Daerah Raub pada masa itu. Semasa berada di Pahang sebelum Jepun menyerah diri, Richardson dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel sebagai pemerintah bagi gerila Wataniah di Pahang.

Sebagai pemimpin Melayu yang dihormati dan berpengaruh dalam kalangan orang-orang Melayu, beliau diharapkan dapat membantu memberi maklumat terperinci tentang kekuatan tentera Jepun di seluruh negeri Pahang. Nama rahsia Yeop Mahidin ialah ‘Singa’.

23 Julai 1945 merupakan hari yang bersejarah bagi Richardson dan Force 136 di satu pihak dengan ‘Singa’ di satu pihak yang lain. Setelah bermesyuarat selama 4 jam, beberapa persetujuan telah dicapai. Pertama, mereka bersetuju bahawa satu gerakan sulit ditubuhkan dengan diberi nama WATANIAH. Gerakan ini ditubuhkan dengan tugas penting untuk membantu Tentera Bersekutu mengambil balik Tanah Melayu dan Singapura daripada tangan Jepun.

Yeop Mahidin dicadangkan dilantik sebagai pegawai pemerintahnya berpangkat Leftenan Kolonel. Sultan Pahang dilantik sebagai Kolonel Kehormat. Ini bermakna bahawa pasukan ini bebas bergerak dan tidak perlu menunggu perintah dari Colombo atau India.

SEAC dan Force 136 akan memberi kerjasama dengan membekalkan senjata, pakaian seragam, makanan dan segala keperluan lainnya. Malah Yeop Mahidin apabila ditanya oleh Richardson berapakah gaji bulanan yang patut dibayar kepada mereka. Yeop dengan tegas menjawab bahawa mereka tidak perlu diberi upah kerana pasukan ini adalah pasukan sukarela.

Ini bermakna bahawa mereka yang benar-benar jujur dan sedia berkorban kerana cinta akan tanah air sahaja yang akan menyertai gerakan ini. Oleh itu, mereka tidak perlu diberi ganjaran.

Adalah menjadi tugas Force 136, MPAJA, dan pasukan sukarelawan seperti Wataniah dan Askar Melayu Setia membantu kembalinya tentera British ke Tanah Melayu serta turut sama menentang British.

Foto : Gambar beramai-ramai - DYMM Sultan Pahang, Abdul Razak Hussien, Yeop Mahidin
Abdul Razak Hussein (berdiri no. 3 dari kanan) dan DYMM Sultan Abu Bakar - Pemerintah Kehormat Gerila Wataniah (duduk di tengah) /rbj

Thursday, July 30, 2009

FORCE 136



Force 136 ialah nama kod yang diberi kepada satu ketumbukan khas gerakan bawah tanah yang ditubuhkan semasa Perang Dunia ke-2 dengan markas pusatnya di Ceylon (Sri Lanka) dan India. Dua negara ini merupakan antara negara-negara Asia jajahan British yang tidak berjaya ditawan oleh Jepun dan sekutunya.

Nama Force 136 hanya digunakan kira-kira pada bulan April 1944. Markas asal Force 136 ialah Meerut, India, kemudiannya dipindahkan ke New Delhi buat sementara dan akhirnya ke Kandy, Ceylon.

Force 136 naungan SEAC (South East Asia Command) dibahagikan kepada 3 kumpulan, iaitu A, B, & C. Kumpulan A meliputi negeri Thai dan Burma; Kumpulan B meliputi Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia, manakala Kumpulan C meliputi Indo-China dan China. Setiap kumpulan dibahagi pula kepada negara masing-masing (Country Section), Tanah Melayu dikenali sebagai Force 136 Malayan Country

Pegawai atau penolong kanan bagi setiap kumpulan diberi nama kod (nama samaran) seperti Harimau, Singa, Beruang, Kiwi, Tikus, dan lain-lain. Nama-nama inilah yang biasanya digunakan dalam perhubungan untuk menghantar maklumat dan untuk hal-hal yang sulit dan rasmi, supaya identiti seseorang itu tidak dikenali oleh pihak musuh.

Tokoh yang paling awal menganggotai Force 136 Malayan Country ialah Richard Broome (bekas pegawai MCS) dan John Davis (bekas pegawai polis di T.Melayu), dan bagi orang Melayunya ialah Tengku Mahmood Mahyideen yang diberi tugas untuk memimpin kumpulan Melayu semasa di India dan Ceylon.

Tengku Mahmood Mahyideen ialah seorang putera mahkota Wilayah Pattani yang tinggal di Kota Bharu dan bertugas sebagai Inspector of School bagi negeri Kelantan. Beliau ialah anak kedua Sultan Abdul Kadir atau Pyar Pipit, iaitu raja Melayu Pattani yang terakhir. Bersama-sama beliau di New Delhi antaranya ialah (Tun) Mohd Suffian Hashim yang bertugas di bahagian Melayu All-India Radio.

Pada tahun-tahun 1943-1944, Tengku Mahmood Mahyideen giat melawat beberapa tempat di India dan di luar India seperti Makkah, Jeddah dan juga London untuk mengambil anak-anak Melayu menganggotai pasukan sukarelawan Force 136.

Setiap mereka ini dikehendaki menjalani pelbagai latihan untuk beberapa bulan lamanya. Antara latihan yang dijalankan temasuklah latihan jasmani, kawat, menembak, serangan komando, sabotaj, membaca peta, mengendalikan perahu kayak dan perahu getah, serta latihan menggunakan payung terjun. Latihan tentera dijalankan dibeberapa tempat seperti di Bombay, Poonah, Jubbulpore, Madras, Jessore, Trincomalee, Rawalpindi, Bengal, Colombo, Calcutta dan di kaki Gunung Himalaya.

Pasukan Force 136 bekerjasama dengan MPAJA (yang mendapat bantuan senjata daripada Tentera Bersekutu), Pasukan Askar Melayu Setia dan Pasukan Wataniah dalam usaha untuk mengusir tentera Jepun dari Tanah Melayu.

Sumber : Peranan Gerila Melayu Force 136, Wan Hashim Wan Teh, 1993

Wednesday, July 29, 2009

Peranan Gerila Melayu : Satu imbasan



Sebagai gerakan yang lahir dalam kancah Perang Dunia Kedua, Pasukan Force 136 dan juga Pasukan Wataniah (rujuk buku teks SEJARAH Ting. 3 m.s 25) - adalah suatu manifestasi konflik terbuka kuasa-kuasa penjajah seperti Amerika-Britain dan sekutunya di satu pihak dan Jerman-Italy dan Jepun di satu pihak lain.

Pasukan Force 136 dan Pasukan Wataniah menggambarkan suatu reaksi orang-orang Melayu terhadap penjajahan Jepun yang dianggap satu kuasa penjajah yang bengis dan kejam dibandingkan dengan penjajah British sebelumnya.

Yang menariknya, sebahagian penting anggota pejuang Melayu Force 136 ialah golongan pelajar yang masih belum menamatkan pengajian mereka. Walau bagaimanapun, demi menyahut panggilan tanah air dan bangsa sendiri yang dahagakan kedamaian, mereka sanggup menggadai nyawa untuk menebus maruah bangsa, antaranya ialah (Tun) Abdul Razak Hussein, (Tun) Hussein Onn, (Tun) Suffian Hashim.

Foto :
1) Dato Onn Jaafar bergambar dengan anaknya Hussein Onn (no. 3 dari kanan) dan Ibrahim Ismail (duduk kiri sekali) sebelum bertolak untuk menjalani latihan tentera di India.
2) Mohd Suffian Hashim (duduk di tengah) bersama anak-anak muda lainnya semasa di India.

bersambung ... Force 136 / rbj

Sunday, July 19, 2009

HAC 2009 - Penghargaan untuk Panitia Sejarah

Pada hari Sabtu lepas, 18 Julai 2009 telah diadakan Hari Anugerah Kecemerlangan di SMKTP. Ini merupakan hari yang penuh bermakna kepada murid-murid yang telah berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam kurikulum, khususnya Peperiksaan PMR & SPM.

Selain itu, panitia yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dan juga yang mempunyai peningkatan dalam peratus lulus keseluruhan juga diberi penghargaan pada majlis tersebut. Pada tahun ini Panitia Sejarah telah diberi penghargaan kerana telah menunjukkan peningkatan peratus lulus dalam peperiksaan SPM 2008.

Tahniah, semoga pada tahun ini panitia sejarah terus menunjukkan prestasi yang baik sama ada dalam PMR ataupun SPM.

-rbj

Wednesday, July 15, 2009

Struktur Organisasi Panitia Sejarah

STRUKTUR ORGANISASI PANITIA SEJARAH

Ketua Panitia : Puan Nooraihan Bt. Zainal Abidin

Penolong Ketua Panitia :

Setiausaha :

Ahli-ahli :
Puan Roshanilawatey Bt. Jusoh
Puan Noraisah Bt. Abd Rani
Puan Zalina Bt. Tambi
Puan Norizan Bt. Abd Rahman
Puan Roslina Bt. Ismail
Cik Fuziellah Bt. Abu Bakar
Puan Suriani Bt. Awang
Puan Zaimuni Bt. Hamzah
Puan Siti Suriyati
Puan Maziana Bt. Ismail
Puan Hamidah
Puan Theyvi
Encik Wan Zamzuri

(akan kemaskini kemudian - tunggu KP balik... atau S/U Panitia yang kemaskinikan...t/k - rbj)

Matlamat Pendidikan Sejarah


"Matlamat pendidikan sejarah adalah untuk memupuk semangat setia dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia. Melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah tanah air, para pelajar akan dapat memahami keadaan masyarakat dan negara dalam mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan terhadap masyarakat dan negara sebagai suatu unit tunggal, mewujudkan ingatan bersama terhadap sejarah sebagai rangka rujukan kesedaran kebangsaan dan memperkukuhkan semangat cinta akan tanah air."

-rbj

Sumber : Sukatan Pelajaran Sejarah Sekolah Menengah (KPM, 1988)

Kepentingan Pendidikan Sejarah


Seringkali wujud tanggapan bahawa sejarah tidak ada apa-apa kegunaan dalam kehidupan manusia. Ia dianggap tidak boleh digunakan secara praktikal dalam kehidupan seharian dibandingkan dengan disiplin-disiplin ilmu yang lain seperti sains, teknologi, perakaunan dan sebagainya.

Menurut Rogers (1987), tiada sesiapa pun yang boleh terlepas daripada masa lampau. Beliau menjelaskan bahawa sejarah memberi pemahaman dengan mendalam mengenai pengalaman dan peristiwa lalu yang berkesinambungan dengan masa kini.

Prof. Wang Gangwu (1964) menyatakan secara jelas kepentingan pendidikan sejarah dengan menyatakan pengajaran sejarah adalah bidang penting untuk generasi muda dan bangsa moden di dunia ini.

Secara ringkas, sejarah mempunyai kepentingan-kepentingan berikut :
* Sejarah memberi pengajaran
* Pendidikan sejarah memberikan kefahaman mengenai masa kini
* Sejarah meningkatkan intelektual
* Sejarah dapat membentuk sikap manusia
* Sejarah untuk pembinaan bangsa
* Sejarah sebagai alat propaganda
* Sejarah bagi pendidikan agama
* Sejarah bagi memahami perkembangan ilmu-ilmu pengetahuan yang lain
* Sejarah bagi meningkatkan kesedaran hak asasi manusia.

-rbj

Pendahuluan

Mata pelajaran Sejarah dalam Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) ialah mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua murid di peringkat sekolah menengah. Ini selaras dengan hasrat dan matlamat Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang menekankan perkembangan yang seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Oleh itu, kemahiran sejarah bukan sahaja menuju ke arah pemerolehan ilmu pengetahuan, tetapi juga ke arah perkembangan kemahiran belajar dan pemupukan serta penghayatan nilai-nilai (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1989) - rbj