"Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

(Dipetik daripada "500 Tahun Menghadapi Cabaran" - Kamaruddin M.Said, 2004)

Wednesday, March 2, 2011


Kerja Kursus Sejarah PMR pada tahun ini berkaitan institusi pentadbiran tempatan. Tugasan PBS Sejarah PMR pada tahun ini adalah seperti yang berikut :


Tugasan 1 :
Anda ditugaskan membuat kajian berkaitan institusi pentadbiran tempatan yang terdapatdi negara kita berdasarkan
satu daripada tajuk berikut:
(i) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
(ii) Rancangan Pembangunan Tanah dan Wilayah
(iii) Pentadbiran Komuniti Setempat

TUGASAN 2
Tulis satu esei tidak kurang daripada 100 patah perkataan yang mengandungi pengamalan unsur patriotisme berdasarkan soalan di bawah.

Soalan :
Bagaimanakah institusi pentadbiran tempatan dapat memperkukuh integrasi nasional di negara

Soalan / tugasan tersebut akan dan telah mula diedar kepada murid-murid Ting. 3 mulai minggu ini. Mulai sekarang juga, guru-guru Sejarah Ting. 3 SMKTP akan membimbing murid-murid Ting. 3 untuk menyediakan folio berkenaan bagi memenuhi syarat Pentaksiran Berasaskan Sekolah peringkat PMR bagi mata pelajaran Sejarah.


-rbj

Wednesday, February 16, 2011

Pengesanan / Penyemakan Buku Sejarah

Mulai tahun 2011 penyemakan buku latihan/ nota/ modul mata pelajaran Sejarah oleh pihak pentadbir SMKTP diadakan pada setiap hari Selasa minggu mengikut bidang. Penyemakan buku secara berjadual ini dimulakan dengan Bidang Bahasa mulai 8 Februari lepas.

Pada minggu ini, tibalah giliran Bidang Kemanusiaan dan Kemasyarakatan. Memandangkan pada hari Selasa (15 Februari) merupakan cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul jadi penyemakan buku dibuat pada hari ini, Rabu 16 Feb 2011.

Tengah hari tadi mulai pukul 1.00 tengah hari GPK Pentadbiran, Encik Chan Seng Fook telah menunggu guru-guru dalam Bidang Kemanusiaan di Bilik Ketua Bidang untuk melaksanakan tugas menyemak dan menandatangani buku latihan/ nota dan modul murid.

.../rbj

Sunday, August 1, 2010

Ogos 1945 : Bulan yang Tidak Menentu di TM

Di Tanah Melayu dan Singapura, pemerintahan Jepun semakin hari semakin tidak popular. Rakyat jelata hidup dalam keadaan gelisah kerana tekanan politik dan keadaan ekonomi yang begitu merosot.

Ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada awal Ogos 1945 mengejutkan seluruh dunia khususnya Maharaja Jepun, angkatan tentera serta rakyat jelatanya. Ledakan ini berlaku dalam keadaan penguasaan tentera Jepun ke atas negara-negara di Asia Tenggara kian merosot.

Apabila bencana yang bersar ini menimpa rakyat jelatanya, Maharaja Jepun bersama menterinya bersetuju supaya Jepun mengangkat bendera putih untuk menyerah diri. Walau bagaimanapun, beberapa orang pegawai tertinggi angkatan tenteranya tidak pula bersikap demikian. Malah ada yang percaya bahawa lebih baik mereka mati daripada menyerah diri kerana kematian membuktikan taat dan cinta mereka kepada Maharaja dan tanah air mereka. Menyerah diri adalah suatu perbuatan yang memalukan.

Perbezaan pendapat ini menjadikan kedudukan pemerintahan Jepun di Asia Tenggara dalam keadaan serba salah. Perisytiharan menyerah diri tidak terus berkuatkuasa sehingga awal bulan September.

Dalam tempoh sebulan bulan Ogos ini keadaan adalah tidak menentu di Tanah Melayu. Berita perkembangan Perang Dunia Kedua dapat diikuti melalui All-India Radio hampir setiap hari (rujuk entri sebelum ni). Pada pagi 11 Ogos, pemberita menyampaikan berita "kemungkinan Jepun akan menyerah diri kepada Tentera Bersekutu dan Perang Dunia Kedua akan ditamatkan."

Pada esok harinya, sekali lagi All-India Radio menyiarkan perkembangan terbaharu tentang perang dan melaporkan bahawa pucuk pimpinan tentera Jepun di Tanah Melayu dan Singapura belum bersedia menyerah diri....!

Dalam keadaan yang tidak menentu inilah juga berlaku satu peristiwa yang menggemparkan rakyat Pahang. Pada pertengahan bulan Ogos DYMM Sultan Abu Bakar telah 'diculik' oleh pihak MPAJA dan berada hampir sebulan di kawasan pedalaman Hutan Simpanan Jengka - Chenor (kini Felda Jengka).

Nota : Jika ada kesempatan akan diceritakan kisah penculikan ini dalam entri yang akan datang...

... bersambung selepas ini dengan coretan pengalaman rakyat Malaysia yang terselamat dalam peristiwa pengeboman Hiroshima & Nagasaki...

.../rbj

Wednesday, July 14, 2010

Hari Ini dalam Sejarah : Sabah...


Minggu ini mula masuk Bab 6 Sejarah Tingkatan 3... Sabah dan Sarawak ke Arah Pentadbiran Sendiri... sesuai sekali dengan peristiwa bersejarah yang berlaku di Sabah pada 14 Julai 1946...

Borneo Utara diletakkan di bawah Jajahan British.

Pada hari ini tanggal 14 Julai 1946, Borneo Utara telah diletakkan di bawah jajahan British. Ini adalah kerana BNBCC tidak mampu membina semula kemusnahan Borneo Utara selepas Perang Dunia Kedua. Kemusnahan teruk yang dialami oleh bandar Sandakan telah menyebabkan Jesselton telah dipilih sebagai ibu negeri selepas era Perang Dunia Kedua.

Dari segi sejarah, Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (British North Borneo Chartered Company) pada 1881 dan menjadi sebuah negeri naungan Empayar British pada 1888. Walau bagaimanapun hal ehwal dalam negeri masih diselaraskan oleh Syarikat. Pemerintahan Syarikat tamat pada 1946 dan Sabah menjadi tanah jajahan Borneo Utara sehingga penyertaanya dalam Persekutuan Malaysia beserta Sarawak, dan Singapura pada 16 September 1963.

Ibu negeri Sabah ialah Kota Kinabalu, yang terletak di Residensi Pantai Barat Sabah. Semasa zaman penjajahan British, Kota Kinabalu dikenali sebagai Jesselton.


.../rbj

Sunday, June 27, 2010

PBS Sejarah PMR


Kerja Kursus Sejarah PMR pada tahun ini berkenaan dengan 'PERAYAAN TRADISI KAUM DI MALAYSIA'. Sejak awal bulan Mac, guru-guru telah membimbing murid-murid Ting. 3 untuk menyediakan folio berkenaan bagi memenuhi syarat Pentaksiran Berasaskan Sekolah peringkat PMR bagi mata pelajaran Sejarah.

Kini, proses menyiapkan Kerja Kursus Sejarah sudah sampai ke penghujungnya. Pada bila-bila masa sahaja pemantauan akan dilakukan oleh Ketua Pentaksir Kawasan.

Guru-guru Sejarah kini sedang sibuk memeriksa folio Kerja Kursus Sejarah sambil 'memburu' murid-murid yang liat menyiapkan folio tersebut, terutama sekali murid-murid yang 'sekejab ada sekejab tidak ada' di sekolah.

-rbj