"Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

(Dipetik daripada "500 Tahun Menghadapi Cabaran" - Kamaruddin M.Said, 2004)

Thursday, July 30, 2009

FORCE 136



Force 136 ialah nama kod yang diberi kepada satu ketumbukan khas gerakan bawah tanah yang ditubuhkan semasa Perang Dunia ke-2 dengan markas pusatnya di Ceylon (Sri Lanka) dan India. Dua negara ini merupakan antara negara-negara Asia jajahan British yang tidak berjaya ditawan oleh Jepun dan sekutunya.

Nama Force 136 hanya digunakan kira-kira pada bulan April 1944. Markas asal Force 136 ialah Meerut, India, kemudiannya dipindahkan ke New Delhi buat sementara dan akhirnya ke Kandy, Ceylon.

Force 136 naungan SEAC (South East Asia Command) dibahagikan kepada 3 kumpulan, iaitu A, B, & C. Kumpulan A meliputi negeri Thai dan Burma; Kumpulan B meliputi Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia, manakala Kumpulan C meliputi Indo-China dan China. Setiap kumpulan dibahagi pula kepada negara masing-masing (Country Section), Tanah Melayu dikenali sebagai Force 136 Malayan Country

Pegawai atau penolong kanan bagi setiap kumpulan diberi nama kod (nama samaran) seperti Harimau, Singa, Beruang, Kiwi, Tikus, dan lain-lain. Nama-nama inilah yang biasanya digunakan dalam perhubungan untuk menghantar maklumat dan untuk hal-hal yang sulit dan rasmi, supaya identiti seseorang itu tidak dikenali oleh pihak musuh.

Tokoh yang paling awal menganggotai Force 136 Malayan Country ialah Richard Broome (bekas pegawai MCS) dan John Davis (bekas pegawai polis di T.Melayu), dan bagi orang Melayunya ialah Tengku Mahmood Mahyideen yang diberi tugas untuk memimpin kumpulan Melayu semasa di India dan Ceylon.

Tengku Mahmood Mahyideen ialah seorang putera mahkota Wilayah Pattani yang tinggal di Kota Bharu dan bertugas sebagai Inspector of School bagi negeri Kelantan. Beliau ialah anak kedua Sultan Abdul Kadir atau Pyar Pipit, iaitu raja Melayu Pattani yang terakhir. Bersama-sama beliau di New Delhi antaranya ialah (Tun) Mohd Suffian Hashim yang bertugas di bahagian Melayu All-India Radio.

Pada tahun-tahun 1943-1944, Tengku Mahmood Mahyideen giat melawat beberapa tempat di India dan di luar India seperti Makkah, Jeddah dan juga London untuk mengambil anak-anak Melayu menganggotai pasukan sukarelawan Force 136.

Setiap mereka ini dikehendaki menjalani pelbagai latihan untuk beberapa bulan lamanya. Antara latihan yang dijalankan temasuklah latihan jasmani, kawat, menembak, serangan komando, sabotaj, membaca peta, mengendalikan perahu kayak dan perahu getah, serta latihan menggunakan payung terjun. Latihan tentera dijalankan dibeberapa tempat seperti di Bombay, Poonah, Jubbulpore, Madras, Jessore, Trincomalee, Rawalpindi, Bengal, Colombo, Calcutta dan di kaki Gunung Himalaya.

Pasukan Force 136 bekerjasama dengan MPAJA (yang mendapat bantuan senjata daripada Tentera Bersekutu), Pasukan Askar Melayu Setia dan Pasukan Wataniah dalam usaha untuk mengusir tentera Jepun dari Tanah Melayu.

Sumber : Peranan Gerila Melayu Force 136, Wan Hashim Wan Teh, 1993

1 comment:

  1. maklumat,, askar wataniah yg pertama di tubuhkan di pahang pada sekitar tahun 1942 oleh anak2 muda melayu yg dianggotai oleh tuanku abdul razak..

    ReplyDelete