"Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

(Dipetik daripada "500 Tahun Menghadapi Cabaran" - Kamaruddin M.Said, 2004)

Sunday, March 13, 2011

PERLANTIKAN BAGI SISTEM AHLI DIUMUMKAN

Pada hari ini 13.03.1951, Pesuruhjaya Tinggi Britain, Sir Henry Gurney telah mengumumkan senarai nama mereka yang telah dilantik untuk menganggotai 'Sistem Ahli'.

Sistem ini merupakan satu sistem pemerintahan secara kabinet dan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin tempatan memperolehi pengalaman dalam usaha membentuk sebuah kerajaan sendiri di Tanah Melayu.


Di bawah sistem ini, ahli-ahli dalam Majlis Undangan Persekutuan telah dilantik mengetuai urusan pentadbiran beberapa buah Jabatan Kerajaan. Oleh kerana mereka adalah ahli-ahli yang dilantik, maka ahli-ahli ini hanya bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Tinggi.

Perlantikan yang diumumkan oleh Sir Henry Gurney pada hari ini dalam tahun 1951, terdiri daripada 4 Ahli Rasmi, 7 Ahli Tidak Rasmi dan 3 ex-officio. Mereka ialah:-

En. Onn b. Jaafar - Ahli bagi Hal Ehwal Dalam Negeri
En. O.A.Spencer - Ahli bagi Hal Ehwal Ekonomi
En. D.C.Watherston - Setiausaha Pertahanan
En. R.P. Bingham - Setiausaha Hal Ehwal orang-orang China
YM. T. Yaacob Ibni Sultan Abd. Hamid - Ahli bagi Pertanian dan Perhutanan
Dr. Lee Tiong Keng - Ahli bagi Kesihatan
Dato E.E.C Thurai-Singham - Ahli bagi Pelajaran
Dato Mahmud b. Mat - Ahli bagi Tanah, Lombong dan Perhubungan
En. J.D. Mead - Ahli bagi Kerjaya dan Perumahan
En. J.O. Sanders - Ahli bagi Keretapi dan Pelabuhan

Manakala ex-officio terdiri daripada Ketua Setiausaha, Peguam Negara dan Setiausaha Kewangan.

Perlantikan yang diumumkan pada hari ini dalam tahun 1951, berkuatkuasa pada 9 April 1951. Sesungguhnya, perlantikan itu memberikan harapan baru kepada penduduk Tanah Melayu dalam usaha membebaskan tanah air dari belenggu penjajahan.

Sumber : Hari Ini Dalam Sejarah, Arkib Negara


.../rbj

No comments:

Post a Comment