"Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

(Dipetik daripada "500 Tahun Menghadapi Cabaran" - Kamaruddin M.Said, 2004)

Friday, July 31, 2009

PASUKAN WATANIAH


Pasukan sukarela Wataniah ditubuhkan hasil daripada perbincangan antara Richardson (pemimpin gerila Force 136 di Pahang) yang menggunakan nama rahsia ‘Kiwi’ dengan Yeop Mahidin yang menjadi Penolong Pegawai Daerah Raub pada masa itu. Semasa berada di Pahang sebelum Jepun menyerah diri, Richardson dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel sebagai pemerintah bagi gerila Wataniah di Pahang.

Sebagai pemimpin Melayu yang dihormati dan berpengaruh dalam kalangan orang-orang Melayu, beliau diharapkan dapat membantu memberi maklumat terperinci tentang kekuatan tentera Jepun di seluruh negeri Pahang. Nama rahsia Yeop Mahidin ialah ‘Singa’.

23 Julai 1945 merupakan hari yang bersejarah bagi Richardson dan Force 136 di satu pihak dengan ‘Singa’ di satu pihak yang lain. Setelah bermesyuarat selama 4 jam, beberapa persetujuan telah dicapai. Pertama, mereka bersetuju bahawa satu gerakan sulit ditubuhkan dengan diberi nama WATANIAH. Gerakan ini ditubuhkan dengan tugas penting untuk membantu Tentera Bersekutu mengambil balik Tanah Melayu dan Singapura daripada tangan Jepun.

Yeop Mahidin dicadangkan dilantik sebagai pegawai pemerintahnya berpangkat Leftenan Kolonel. Sultan Pahang dilantik sebagai Kolonel Kehormat. Ini bermakna bahawa pasukan ini bebas bergerak dan tidak perlu menunggu perintah dari Colombo atau India.

SEAC dan Force 136 akan memberi kerjasama dengan membekalkan senjata, pakaian seragam, makanan dan segala keperluan lainnya. Malah Yeop Mahidin apabila ditanya oleh Richardson berapakah gaji bulanan yang patut dibayar kepada mereka. Yeop dengan tegas menjawab bahawa mereka tidak perlu diberi upah kerana pasukan ini adalah pasukan sukarela.

Ini bermakna bahawa mereka yang benar-benar jujur dan sedia berkorban kerana cinta akan tanah air sahaja yang akan menyertai gerakan ini. Oleh itu, mereka tidak perlu diberi ganjaran.

Adalah menjadi tugas Force 136, MPAJA, dan pasukan sukarelawan seperti Wataniah dan Askar Melayu Setia membantu kembalinya tentera British ke Tanah Melayu serta turut sama menentang British.

Foto : Gambar beramai-ramai - DYMM Sultan Pahang, Abdul Razak Hussien, Yeop Mahidin
Abdul Razak Hussein (berdiri no. 3 dari kanan) dan DYMM Sultan Abu Bakar - Pemerintah Kehormat Gerila Wataniah (duduk di tengah) /rbj

2 comments: