"Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan, dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan..."

(Dipetik daripada "500 Tahun Menghadapi Cabaran" - Kamaruddin M.Said, 2004)

Thursday, March 10, 2011

MPK dan Sejarah Pembukaan Kuantan


Melalui catatan sejarah, Kuantan telah wujud semenjak awal tahun 1850-an lagi. Kewujudan Kuantan pada kurun ke 19 adalah bermula sebagai penempatan.

Sistem berkerajaan tempatan mula dilaksanakan di Kuantan pada 1 Ogos 1913 dengan penubuhan Kuantan Sanitary Board yang bertanggungjawab terhadap kawalan kebersihan, kesihatan dan kawalan pembangunan. Pada tahun 1937, Kuantan Sanitary Board telah digantikan dengan Lembaga Bandaran Kuantan (Kuantan Town Board).

Setelah hampir 16 tahun berada di bawah sistem ini, Lembaga Bandaran Kuantan telah dinaiktaraf kepada
Majlis Bandaran Kuantan (Kuantan Town Council) dengan kawasan pentadbiran seluas 16 km persegi sahaja iaitu tertumpu kepada Mukim Kuala Kuantan.
Pada 1 September 1979 sekali lagi, Majlis Bandaran Kuantan dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran Kuantan (Kuantan Municipal Council) berasaskan Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) yang kekal hingga ke hari ini.
Keluasan kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuantan telah diperkembangkan kepada 324 km persegi yang meliputi empat mukim iaitu Kuala Kuantan, Ulu Kuantan, Beserah dan Sungai Karang. Kawasan ini merupakan 10% daripada keluasan keseluruhan bandar Kuantan. Daripada keluasan tersebut, 20% merupakan kawasan bercukai yang diberikan perkhidmatan perbandaran manakala bakinya merupakan kawasan pembangunan.

Lokasi Kuantan terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia di antara garis lintang 3o 49' di utara dan garis bujur 102o 25' di timur. Di bahagian timur ialah Laut Cina Selatan dengan panjang kawasan pantai 56 km (35 batu). Di sebelah barat ialah Daerah Maran dan Jerantut, di utara ialah Negeri Terengganu dan di selatan ialah Daerah Pekan.

.../rbj

Monday, March 7, 2011

Penyata Pelajaran Razak Diluluskan


Pada hari ini tanggal 7 MAC 1957, Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan dengan sebulat suara meluluskan Penyata Razak. Menteri Pelajaran ketika itu Y.B. Dato' Tun Abdul Razak Hussein menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran dan mengesyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan dan laporan ini dikenali sebagai Penyata Razak (1956). Cadangan-cadangan dalam penyata tersebut telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 Tujuan Penyata Razak adalah untuk :
a. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah

b. Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu

c. Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan

d. Menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, terlatih, liberal dan progresif.

e. Mewujudkan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan

f. Mewujudkan masyarakat yang bertoleransi, berdisplin, terlatih , liberal dan progresif

g. Memenuhi keperluan negara yang merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan
Rang Undang-undang ini diharap dapat menghapuskan semua sekatan yang menghalang perpaduan kaum di negara ini dan akan melahirkan satu bangsa yang baru dan bersatu. Ia juga akan membuka kesempatan yang lebih luas kepada anak-anak untuk mengasah dan melahirkan perpaduan antara kaum yang tulin di negara ini.

Dalam membentangkan Rang Undang-undang Pelajaran ini, beberapa cadangan telah dikemukakan. Antara cadangan tersebut termasuklah :


1. Membina 5 buah sekolah Teknik yang akan bertempat di Pengkalan Chepa, Kelantan; di Temerloh, Pahang; di Melaka; di Telok Air Tawar, Buttorworth; di Rembau, Negeri Sembilan.

2. Membina 2 buah sekolah pertukangan di Selangor, sebuah di Teluk Datuk dan sebuah lagi di Tanjung Karang.

3. Membina 2 buah Institut Rendah Teknik (Junior Technical Institute), satu di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

4.
Sistem melatih guru-guru juga akan disusun semula di bawah Rang Undang-undang ini bagi melahirkan guru-guru yang lebih berdedikasi.

...pendidikan kebangsaan wahana perpaduan...

.../rbj


Wednesday, March 2, 2011


Kerja Kursus Sejarah PMR pada tahun ini berkaitan institusi pentadbiran tempatan. Tugasan PBS Sejarah PMR pada tahun ini adalah seperti yang berikut :


Tugasan 1 :
Anda ditugaskan membuat kajian berkaitan institusi pentadbiran tempatan yang terdapatdi negara kita berdasarkan
satu daripada tajuk berikut:
(i) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
(ii) Rancangan Pembangunan Tanah dan Wilayah
(iii) Pentadbiran Komuniti Setempat

TUGASAN 2
Tulis satu esei tidak kurang daripada 100 patah perkataan yang mengandungi pengamalan unsur patriotisme berdasarkan soalan di bawah.

Soalan :
Bagaimanakah institusi pentadbiran tempatan dapat memperkukuh integrasi nasional di negara

Soalan / tugasan tersebut akan dan telah mula diedar kepada murid-murid Ting. 3 mulai minggu ini. Mulai sekarang juga, guru-guru Sejarah Ting. 3 SMKTP akan membimbing murid-murid Ting. 3 untuk menyediakan folio berkenaan bagi memenuhi syarat Pentaksiran Berasaskan Sekolah peringkat PMR bagi mata pelajaran Sejarah.


-rbj

Wednesday, February 16, 2011

Pengesanan / Penyemakan Buku Sejarah

Mulai tahun 2011 penyemakan buku latihan/ nota/ modul mata pelajaran Sejarah oleh pihak pentadbir SMKTP diadakan pada setiap hari Selasa minggu mengikut bidang. Penyemakan buku secara berjadual ini dimulakan dengan Bidang Bahasa mulai 8 Februari lepas.

Pada minggu ini, tibalah giliran Bidang Kemanusiaan dan Kemasyarakatan. Memandangkan pada hari Selasa (15 Februari) merupakan cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul jadi penyemakan buku dibuat pada hari ini, Rabu 16 Feb 2011.

Tengah hari tadi mulai pukul 1.00 tengah hari GPK Pentadbiran, Encik Chan Seng Fook telah menunggu guru-guru dalam Bidang Kemanusiaan di Bilik Ketua Bidang untuk melaksanakan tugas menyemak dan menandatangani buku latihan/ nota dan modul murid.

.../rbj

Sunday, August 1, 2010

Ogos 1945 : Bulan yang Tidak Menentu di TM

Di Tanah Melayu dan Singapura, pemerintahan Jepun semakin hari semakin tidak popular. Rakyat jelata hidup dalam keadaan gelisah kerana tekanan politik dan keadaan ekonomi yang begitu merosot.

Ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada awal Ogos 1945 mengejutkan seluruh dunia khususnya Maharaja Jepun, angkatan tentera serta rakyat jelatanya. Ledakan ini berlaku dalam keadaan penguasaan tentera Jepun ke atas negara-negara di Asia Tenggara kian merosot.

Apabila bencana yang bersar ini menimpa rakyat jelatanya, Maharaja Jepun bersama menterinya bersetuju supaya Jepun mengangkat bendera putih untuk menyerah diri. Walau bagaimanapun, beberapa orang pegawai tertinggi angkatan tenteranya tidak pula bersikap demikian. Malah ada yang percaya bahawa lebih baik mereka mati daripada menyerah diri kerana kematian membuktikan taat dan cinta mereka kepada Maharaja dan tanah air mereka. Menyerah diri adalah suatu perbuatan yang memalukan.

Perbezaan pendapat ini menjadikan kedudukan pemerintahan Jepun di Asia Tenggara dalam keadaan serba salah. Perisytiharan menyerah diri tidak terus berkuatkuasa sehingga awal bulan September.

Dalam tempoh sebulan bulan Ogos ini keadaan adalah tidak menentu di Tanah Melayu. Berita perkembangan Perang Dunia Kedua dapat diikuti melalui All-India Radio hampir setiap hari (rujuk entri sebelum ni). Pada pagi 11 Ogos, pemberita menyampaikan berita "kemungkinan Jepun akan menyerah diri kepada Tentera Bersekutu dan Perang Dunia Kedua akan ditamatkan."

Pada esok harinya, sekali lagi All-India Radio menyiarkan perkembangan terbaharu tentang perang dan melaporkan bahawa pucuk pimpinan tentera Jepun di Tanah Melayu dan Singapura belum bersedia menyerah diri....!

Dalam keadaan yang tidak menentu inilah juga berlaku satu peristiwa yang menggemparkan rakyat Pahang. Pada pertengahan bulan Ogos DYMM Sultan Abu Bakar telah 'diculik' oleh pihak MPAJA dan berada hampir sebulan di kawasan pedalaman Hutan Simpanan Jengka - Chenor (kini Felda Jengka).

Nota : Jika ada kesempatan akan diceritakan kisah penculikan ini dalam entri yang akan datang...

... bersambung selepas ini dengan coretan pengalaman rakyat Malaysia yang terselamat dalam peristiwa pengeboman Hiroshima & Nagasaki...

.../rbj